Saturday, 15 October 2011

MASTER PLAN KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN (Bahagian 1)

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt para pejuang & perindu kebangkitan Islam akhir zaman...



Bila berbicara tentang kebangkitan Islam dari Timur, terngiang-ngiang pendapat/teori popular iaitu "Sejarah & Tamadun Melayu telah digelapkan dan bangsa Melayu sedang di'tidur'kan dalam lena yang panjang menunggu masa untuk bangkit". Kami bersetuju dengan pendapat tersebut dalam konteks sejarah Nusantara dan kesedaran tentang jatidiri Melayu. Tapi jika dalam konteks yang lebih luas iaitu kebangkitan Islam dari Timur di akhir zaman, istilah 'Melayu' dan 'tidur' yang digunakan bagi kami agak sempit.

Pertama, kita tak seharusnya hadkan kepada bangsa Melayu saja kerana terbukti sejarah bangsa lain di dunia juga tak terlepas dari difitnah dan digelapkan. Terutama kisah menyayat hati keturunan ahlul bait yang dikejar & dibunuh sehingga mereka terpaksa melarikan diri berhijrah dan berasimilasi dengan masyarakat Nusantara demi meneruskan kesinambungan syiar Islam. Ternyata matlamat utama musuh-musuh ALLAH yang cuba menggelapkan jejak & sejarah dunia adalah untuk memadamkan cahaya Islam bukan atas motif bangsa. Maka kami lebih selesa menggunakan istilah 'umat Islam' kerana kebangkitan Islam di Timur adalah perjuangan agama bukannya terhad kepada bangsa semata-mata. Jika difokuskan kepada bangsa Melayu saja dikhuatiri matahati kita akan buta untuk mengenal perjuangan Islam yang sebenar andai ditakdirkan ia dipimpin oleh umat Islam dari bangsa yang berbeza.

Keduanya, istilah 'tidur' terlalu berlapik dan lembut berbanding dengan segala simptom dan sindrom kronik yang sedang dihidap oleh umat Islam hari ini. Jika hanya di'tidur'kan kenapa umat Islam hari ini masih belum bangkit ? Sedangkan umat Islam hari ini telah lama ditekan, dibantai dan disembelih oleh para pengikut Iblis & Dajjal yang terang nyata bebas mencatur dunia termasuk agenda melemah dan memusnahkan Islam di negara kita sendiri. Mungkin sebab istilah 'tidur' inilah membuatkan kita masih kurang sensitif dengan tahap kritikal sebenar yang sedang membelenggu umat Islam hari ini. Kami berpendapat bahawa ketika ini butang panik telah wajib ditekan. Maka, hakikat sebenar betapa nazaknya situasi umat Islam ketika ini mesti disedar dan disebarluaskan untuk mengaktifkan 'alter' perjuangan supaya umat Islam mula berusaha bangkit dan berjuang. Tidak lagi hanya baring memeluk bantal (baca: memeluk tubuh) di atas katil (baca: zon selesa) kononnya sedang ditidurkan.

Kami ingin mengajak saudara semua menilai realiti sejauh mana kesedaran umat Islam di sekeliling kita hari ini (termasuk diri kita sendiri) tentang hakikat betapa kita sedang hidup betul-betul di penghujung akhir zaman.
Sejauh mana umat Islam hari ini sedar dunia ini hanya menunggu masa tanda-tanda besar kiamat muncul ?
Seramai mana umat Islam yang ambil tahu & percaya tentang betapa gentingnya situasi dan nasib manusia ketika ini ?

Kenapa terlalu ramai keluarga, sahabat & saudara-saudara kita yang sedang hidup dengan 'selamba' dan masih leka mengejar nikmat dunia ? Ada beberapa situasi yang berkemungkinan iaitu sama ada 'salam peringatan akhir zaman' belum disampaikan kepada mereka, atau telah disampaikan kepada mereka tapi mereka sendiri memilih untuk menolaknya.

Dari situasi di atas, pihak kami telah mengenalpasti 3 persoalan terpenting yang mesti diperhalusi dan diselesaikan iaitu :
  1. Bagaimana utk pastikan supaya kita (kami dan anda) dapat sebarkan 'salam peringatan akhir zaman' kepada seramai mungkin manusia di sekeliling kita yang termampu kita sampaikan ?
  2. Apakah yang menyebabkan ramai saudara kita yang telah diberi 'salam peringatan akhir zaman' tetapi mereka masih menolak dan meremehkannya ?
  3. Bagaimanakah cara dakwah terbaik untuk kita sampaikan 'salam peringatan akhir zaman' supaya lebih mudah mereka sedar, faham, percaya sehingga mereka turut sama berjuang bersama-sama kita ?

NOTA :
Untuk artikel kali ini, kami hanya akan kupas persoalan ke 2 kerana ia berkaitan secara langsung dengan tajuk artikel ini. Persoalan 1 dan ke 3 insyaALLAH kami akan disentuh dalam artikel-artikel lain akan datang kerana ia menjurus kepada persoalan dakwah.


Saudara-saudaraku sekalian...
Kita berbalik kepada persoalan ke 2 iaitu "Apakah yang menyebabkan ramai saudara kita yang telah diberi 'salam peringatan akhir zaman' tetapi mereka masih menolak dan meremehkannya ?"
Sekali lagi kami tekankan, umat Islam sebegini bukan di'tidur'kan, tapi hakikatnya ber'penyakit' yang sangat kronik. Keadaan dan situasi hari ini sangat bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan dari Thauban r.a, bahawa Rasullullah SAW bersabda, dengan mafhumnya:

“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”
Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Cintakan dunia dan takut mati.”

SubhanALLAH.. Sangat benar sabdamu Ya Rasulullah SAW.. Maksud hadis ini kena tepat ke muka setiap umat Baginda SAW pada hari ini termasuk diri kita sendiri. Inilah dua penyakit kronik yang telah lama melumpuhkan sendi anggota kita dari bangun berjuang melawan musuh-musuh Islam, tapi kita sanggup pula mengerah anggota tenaga & bekerja keras untuk mengejar harta dan nikmat dunia. Inilah 'realiti' umat Islam hari ini hidup dalam 'ilusi' ciptaan musuh-musuhnya sendiri.


Belenggu Ilusi

Hari ini para musuh ALLAH dan para pengikut Iblis & Dajjal tak perlu bersusah payah memerangi kita dengan senjata. Malah kita diberikan kemerdekaan dan dibiarkan hidup bebas beramal beribadah mengembangkan ajaran Islam. Inilah buktinya umat Islam hari ini lemah dan tak menggentarkan mereka, walaupun bilangan kita semakin bertambah tapi apa gunanya kuantiti kalau kualitinya tidak bererti. Umat Islam hari ini juga ibarat buih di lautan, yang rapuh dan hanya menurut arah aliran air dan pukulan ombak.

Perhati dan fahamkan 3 sindrom yang di'bold'kan di atas. Penyakit 'cintakan dunia dan takut mati' telah membelenggu hati umat Islam hari ini melalui 3 sindrom ilusi tersebut, iaitu :
lemah
rapuh
hanya menurut

Bukankah pegangan kita terhadap Al Quran dan As Sunnah semakin lemah ?
Bukankah kesatuan & persaudaraan ummah kita semakin rapuh ?
Bukankah kita sedang hidup menurut sistem & cara hidup ciptaan Kuffar ?

Inilah yang kami namakan sebagai Belenggu Ilusi. Musuh-musuh Islam hari ini tak perlu lagi memaksa kita secara zahir dan fizikal. Tapi kerana penyakit Al Wahn kita sendiri cenderung memilih cara hidup yang bathil sehingga umat Islam menjadi lemah, berpecahbelah dan terpesong akidah tanpa kita sedar selama ini.

Berbalik semula kepada persoalan "Apakah yang menyebabkan ramai saudara kita yang telah diberi 'salam peringatan akhir zaman' tetapi mereka masih menolak dan meremehkannya ?"
Ini adalah masalah utama yang telah kami kenalpasti sebagai penghalang terbesar kepada kebangkitan umat Islam. Kami sangat yakin saudara pejuang semua juga kerap berhadapan dengan situasi ini bila cuba menyampaikan 'salam peringatan akhir zaman' kepada saudara-saudara yang lain disekeliling kita. Memang benar yang memberi hidayah adalah ALLAH SWT, tapi kita yang berjuang ini tidak boleh berputus asa selagi kita tidak cuba sedaya upaya.

Pihak kami berpendapat bahawa untuk berdakwah & berjuang kepada umat Islam hari ini, langkah awal yang mesti kita ambil adalah mengenali punca utama penolakan mereka terhadap usaha dakwah kita. Matlamat artikel ini adalah untuk menjelaskan bahawa Penyakit Al Wahn adalah masalah utama yang menyebabkan sindrom 'belenggu ilusi' sedang menghalang umat Islam dari melihat kebenaran akhir zaman. Kita tak akan berjaya menyatukan hati umat Islam & apatah lagi untuk mengajak mereka berjuang bersama-sama jika kita terus membiarkan 'penyakit' ini membelenggu diri kita semua.


Kesimpulan

JOM! kita bermetafora untuk memahami maksud kami dengan lebih jelas :

Kita yang sedang berdakwah ini boleh diumpamakan seorang doktor, manakala penolakan umat Islam hari ini terhadap usaha dakwah kita diandaikan sebagai barah. Maka sebagai doktor, kita mesti mengkaji dulu sel apa yang menjadi punca utama berlakunya sindrom penyakit barah itu. Dan selepas itu barulah kita berusaha merawat sel punca tersebut, untuk mengurangkan sindrom penyakit sehinggalah penyakit barah itu sembuh.

Sel punca barah = Penyakit Al Wahn
Sindrom barah = Belenggu Emosi
Barah kronik = Penolakan Dakwah Kebangkitan Akhir Zaman

Maka, doktor yang terbaik mestilah berupaya mengesan sel punca yang sebenar barulah dapat mengkaji dan menghasilkan cara rawatan & ubat yang berkesan menyembuhkan penyakit tersebut. Jika tersalah mengesan sel punca, masa kan dapat mencipta cara rawatan yang berkesan apatah lagi untuk menyembuhkan penyakit tersebut. Silap hari bulan bertambah teruk & nazak pesakit yang cuba dirawat :)

Point penting :
Umat Islam hari ini sedang dalam bahaya fitnah akhir zaman. Kealpaan umat Islam bukan kerana sedang 'tidur' tapi kerana menghidap penyakit Al Wahn yang telah lama membarah dalam hati & jiwa. Untuk menyelamat umat Islam hari ini, bukan setakat menyedarkan mereka dari 'tidur' tapi melalui usaha dakwah yang berhikmah untuk merawat penyakit Al Wahn dalam diri kita semua.



Wallahu'alam

InsyaALLAH akan bersambung...

Admin
17 Sya'aban 1432H
12:24 Tengahari

Sumber Asal : MASTER PLAN KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN (BAHAGIAN 1)

No comments:

Post a Comment