Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt saudaraku sekalian..
Alhamdulillah, segala syukur & pujian ke hadrat Ilahi kerana hanya dengan kekuasaanNYA telah menggerakkan hati & jiwa kami (pihak Admin) untuk mewujudkan page 'JOM! Semarakkan Kebangkitan Islam Akhir Zaman' ini. Page ini diwujudkan atas ilham & gerak yang diisyaratkan oleh Allah SWT di saat pihak Admin sedang tercari-cari apakah peranan yang mesti dilakukan sebagai salah satu cara perjuangan dalam merealisasikan kebangkitan Islam di akhir zaman ini.
Bermula dengan mengenali dan mengikuti beberapa sumber artikel dan blog tentang fenomena kebangkitan Islam di akhir zaman, pendedahan teori konspirasi Dajjal & Zionis, pembongkaran sejarah tamadun Melayu yang digelapkan, kedatangan Imam Mahdi sehingga turunnya Nabi Isa a.s, pihak Admin mula menyedari tentang dimensi ilusi yang telah lama melingkari hakikat hidup manusia di dunia ini. Kemudian ini dikuatkan lagi melalui hasil kajian para ilmuwan Islam terutama dari Sheikh Imran Hosein yang sentiasa bersandarkan kepada ilmu Al-Quran dan Al Hadith.
Saudaraku sekalian..
Betapa di zaman ini ramai antara kita yang telah dan sedang tertipu hidup-hidup dengan fatamorgana duniawi. SubhanALLAH.. Sungguh benar firman ALLAH bahawa kehidupan ini hanyalah permainan & senda gurau menipudaya para hambaNYA yang mengejar nikmat & kesenangan hidup semata-mata. Sedang kita semakin terlupa kepada peranan & tujuan utama hidup kita untuk beribadat kepadaNYA dan menjadi Khalifah yang wajib menegakkan syiar Islam di segenap pelusuk muka bumi ini.
"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Al-Hadiid : 20)
Ya ALLAH..
Kami bersyukur kerana di kesempatan usia hidup kami yang semakin berkurang ini KAU kurniakan setitik dari ilmuMU Yang Maha Luas untuk kami memahami hakikat dunia sebenar serta mengenali setiap halus butir kelicikan musuh-musuh agamaMU merencanakan tipu daya memesong dan melalaikan kami dari Jalan Yang Lurus. Kami juga bersyukur kerana petunjuk dan hidayahMU mula hadir meresap jauh ke dalam hati kami untuk tampil melalui ruangan Page ini sebagai salah satu cabang dakwah demi menyedarkan seberapa ramai umat manusia tentang hakikat dunia akhir zaman ini.
Ya ALLAH..
Niat kami adalah semata-mata untuk berjuang pada JalanMU. Permudahkanlah usaha perjuangan kami menggerakkan usaha dakwah ini demi menyatupadukan hati & jiwa setiap umat Islam di bawah satu matlamat perjuangan yang suci iaitu untuk merealisasikan kebangkitan Islam dari Timur. Bimbinglah kami dalam setiap tutur bicara menyampaikan dakwah dan kurniakanlah kepada kami lisan fasih yang penuh berhikmah ketika menyeru kebaikan. Kuatkanlah kesabaran kami di saat menerima penolakan dan kecaman dari para hambaMu yang mungkin akan menentang usaha kami ini. Berkatilah perjuangan kami ini dan terimalah ia sebagai ibadah kami semata-mata kepadaMU..
Saudara-saudaraku..
Di saat kami menyingkap niat ikhlas dan matlamat suci perjuangan ini, kami menyeru kepada kalian untuk sama-sama menyokong & berjuang bersama kami seikhlas hati KERANA ALLAH semata-mata demi melihat agama Islam kembali bangkit di akhir zaman ini. Bukankah di akhir zaman ini ALLAH mengisyaratkan bahawa Khilafah melalui manhaj kenabian SAW akan menaungi semula dunia ini ? Mari kita sama-sama hayati kembali perjalanan dakwah Rasulullah SAW yang bermula seorang diri hanya berbekalkan keyakinan & ketakwaan kepada ALLAH semata-mata sehingga akhirnya berjaya menegakkan syariat Islam sepenuhnya melalui penubuhan negara Madinah.
Di saat betapa umat Islam hari ini terlalu mabuk cintakan dunia dan takutkan mati, manakala musuh-musuh Islam sedang giat bersatu menyempurnakan misi terakhir Iblis & Dajjal, maka apakah peranan kita sebagai umat Islam yang semakin sedar tentang hakikat perjalanan dunia akhir zaman ini ? Adakah kita hanya memperlekehkan segala hasil kajian & pendedahan yang disuakan ke hadapan mata kita ? Atau kita percaya tapi sekadar melayani perasaan insaf yang kerap berbolak-balik dalam hati ? Apakah memadai dengan usaha kita menyebarkan hakikat akhir zaman ini kepada rakan-rakan kita yang lain tapi membiarkan diri kita & mereka terpinga-pinga mencari jalan keluar sendiri ?
Saudara-saudara seagamaku..
Itulah hakikat yang terjadi kepada diri kita semua di kala ini. Pendedahan demi pendedahan difokuskan, tetapi sangat kurang pihak yang berusaha menunjukkan jalan keluar yang dapat menyelamatkan diri kita bersama. Sedarkah kita semua kejadian dan permasalahan umat Islam hari ini telah dinyatakan dalam Al-Quran & Al Hadith sejak lebih 1400 tahun dahulu ? Dan melalui 2 tali pegangan yang bersumber dari ALLAH dan Rasul SAW ini jugalah terkandung jalan penyelesaian yang serba lengkap dan ampuh untuk diamalkan oleh sekalian umat Islam kini.
Justeru, Page ini dibangunkan sebagai satu jalan dakwah yang ingin mengajak setiap umat Islam dewasa ini agar kembali berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al Hadith sebagaimana sabda Nabi SAW dalam khutbah terakhir di Gunung Arafah pada tahun ke 10 Hijrah. Dalam erti kata lain umat Islam hari ini wajib meletakkan ALLAH SWT dan Rasulullah SAW di dua tempat tertinggi dalam diri masing-masing melebihi segala-galanya. Ini adalah syarat terpenting untuk kita mengenali satu-satunya Jalan Yang Lurus yang dapat menyelamatkan kita dari terus terpesong dan disesatkan lebih jauh lagi ke 72 jalan yang bathil.
Saudara-saudaraku sekalian, mulai hari ini setiap dari kita adalah bersaudara, tinggalkan semua fahaman duniawi, buang jauh-jauh ketaksuban politik, perbezaan nama & pangkat serta segala macam anasir yang selama ini memecahbelahkan kesatuan ummah antara kita. Kembalilah kita menasihati sesama insan supaya bersatu di bawah kalimah tauhid sepertimana di awal perjuangan Baginda SAW. Kita jadikan ini sebagai langkah permulaan, menyatukan hati setiap Mukmin yang cinta 100% kepada ALLAH & Rasul sebelum kita boleh mula bermimpi untuk membariskan hati-hati yang bagaikan kepingan besi.
Sahutlah seruan perjuangan kami, JOM! Semarakkan Kebangkitan Islam Akhir Zaman. Kami tak sanggup menjadi hambaNYA yang telah sedar dirinya tersesat tetapi terus mnunggu dalam kesesatan tanpa ikhtiar. Apakah nanti ALLAH & Rasul akan redha terhadap kami ? Maka itu kami telah tekad memilih untuk bangkit dan berjuang meneladani semangat Sultan Muhammad Al Fateh yang kepingin merealisasikan sabda Nabi SAW walaupun di akhir nanti kami terpaksa akur bahawa kami bukanlah Pemuda Bani Tamim seperti yang baginda SAW sabdakan. Bukan gelaran itu yang kami cari, hanya semangat 'pemuda berhati besi' menjadi inspirasi untuk menemani kami berjuang semata2 KERANA ALLAH. InsyaALLAH..
Akhir kata bagi pihak Admin, sila 'LIKE' page kami ini dan sebar-sebarkanlah kepada rakan-rakan FB anda yang lain. Sesungguhnya hanya manfaat bersama yang dicari, jika ada sebarang kekurangan atau kesilapan kami, berilah teguran secara berhikmah. Semoga setiap teguran, nasihat & perkongsian kita di dalam page ini akan dinilai sebagai ibadah oleh ALLAH SWT. Amin..
Wassalam
Admin
JOM! Semarakkan Kebangkitan Islam Akhir Zaman
15 Sya'aban 1432H
1:33 Pagi
Sumber Asal : Niat & Matlamat JOM! Semarakkan Kebangkitan Islam Akhir Zaman


No comments:
Post a Comment